Sejarah Perjalananku



Alhamdulillah, sekian lama ingin saya menulis sedikit catatan perjalanan hidup yang tuhan berikan ini, mudah-mudahan mutiara yang saya kutip disepanjang jalan ada manfaatnya. Lagi pun saya tidak tau secara pasti, berapa langkah lagi yang ada, berapa titis air lagi yang ada, untuk saya sebagai hambaNya, sebelum kembali menemuiNya. Selamat Membaca…. Seorang pernah berkata, hidup seseorang itu laksana sebuah lukisan, maka lukislah yang baik-baik untuk dilihat oleh generasi akan datang.


Bismilla hir rahmaanir rahiem. BIAR KU TULIS sejarah RINGKAS, UNTUK MENGISI JALANNYA DAKWAH, semoga TUMBUH MOTIVASI PADA SESIAPA YANG MEMBACANYA


Nama : Noorhisham bin Hamzah, (Cahaya Hati Pemurah)
Jasad ini lahir pada 15 haribulan Januari 1977  bersamaan 24 Muharam 1397 Masihi, pada pagi hari Sabtu di (sebuah rumah, foto sebelah) di sebuah kampung bernama Kampung Kubang Tuman.

Mengikut orang tua-tua, di kampung ini ada sebuah "kubang", (tempat ikan-ikan berkumpul), didalamnya ada Ikan Tuman yang besar dan berhantu pulak tu. Sekejap dia besar, sekejap dia mengecil, sampai tak boleh orang nak tangkap, sebab itu kampung itu namanya begitu. Apakah benar cerita ini atau hanya satu dongengan? Entahlah.

Jarak kampung ku 5 kilometer ke Bandar Kota Bharu . Sekarang kampung saya dah tak macam kampung, kampung itu hanya tinggal nama, sebab dah jadi bandar... namanya sekarang lebih orang kenal dengan Taman Tengku Anis.

Dari rumah tempat ku dilahirkan, boleh lah nampak dan dengar suara anak-anak bermain di taman tersebut.

Saya adalah anak pertama dari 5 beradik. Tak semua adik-adik saya berjaya ke manara gading, hanya seorang ke Mesir. Ya lain terpaksa memilih jalan sendiri, kerana tak berezki meneruskan alam persekolahan.

Waktu saya lahir dulu, tiada sudah insan yang bernama atuk, semuanya telah pergi, yang ada hanya nenek. Nenek kepada ibu dan bapaku. Kedua-dua nenek ini memang masih ada waktu itu.  

Foto sebelah adalah lokasi kubur nenek (sebelah bapa) saya dikebumikan di Felda Kota Gelanggi 2 sepulangnya dari Mekah menunaikan haji.

Itulah...Tuhan memanjangkan usia seorang manusia bernama perempuan. Sedang insan lelaki, pergi mendahului lebih awal. Nabi sendiri pun pernah bersabda, akhir zaman lebih ramai orang perempuan berbanding kaum lelaki. Kalau saya bersyarah di depan orang lama, ayat ini pasti saya selitkan sebagai peringatan buat yang mendengar, termasuk lah diri yang menyampaikan.

Pernah nenek bercerita, katanya atuk saya dulu dari keturunan Raja Jembal. Anak cucu dari Raja Jembal berkahwin dengan Cina Mualaf dari Kedai Buluh Kota Bharu). Istilahnya orang keluaran, sebab tak kawin sama-sama sekufu. Makanya nama “Nik” hilang sanadnya.

Kalau tidak nama saya pun ada “Nik” di hadapan kata nenek. (Nik Noorhisham) Tak pasti pulak jantina Cina Mualaf itu lelaki atau perempuan, kemungkinan besar lelaki. 

Pada saya, tak kisahlah keturunan Jembal atau bukan, yang paling penting, Sesungguhnya yang paling mulia disisi Allah Taala, adalah yang paling bertaqwa. Ya. TAQWA.

Kata seorang guru saya, kita semua ni keturunan nabi… ya anak cucu Nabi Adam Alaihis Salam. So, janganlah perangai kita tak macam nabi-nabi. Mari ikut jejak  Nabi.

Sebab ayah pada atuk kawin dengan bukan sama-sama Nik, maka putuslah sanad Nik dalam keluarga kami. Sebab itu juga, wajah nenek ku (sebelah ayah) ada iras-iras orang Cina, dan jatuh pada beberapa orang anak cucu, termasuk daku dan anakku yang kedua ini, lebih nampak cina nya sedikit dari kakaknya. Cuma kulitku tak seputih cina. Mata saja yang seakan Cina.

Jinjang Pendidikan : Tadika

Awalnya saya bersekolah di sekolah Tadika Tokono, Jalan Atas Paloh, tahun 1983, waktu ini umur 6 tahun. Hingga sekarang bangunan itu masih ada lagi. Waktu itu bapa saya mengusahakan sebuah warung kedai kopi di Jalan Kebun Sultan, berhadapan dengan kilang botol kicap.

Kilang botol ini tersohor satu Kota Bharu, kerana ada 2 biji botol besar setinggi pokok. Kalau orang nak datang ke situ, mereka sebut pada tukang beca, “nak pergi ke botol kicap”. Ha…tau lah tukang beca.

Hari-hari saya pergi sekolah naik beca roda tiga, negeri Kelantan memang sebati dengan beca roda tiga. Kadang-kadang naik motor Vespa bapa, masih saya ingat, waktu rehat  sekolah tadika, kami diberi minum teh 0 dan biskut merrie bulat 2 keping seorang. Itulah makanan kami waktu rehat. Kalau ada lebih, kami dapatlah 3 keping seorang. Di sekolah inilah saya mula belajar mengenal huruf ABC, membaca, menulis dan mengira. Antaranya tulisan yang saya belajar ialah tulisan Cina.

Sekolah Rendah Kebangsaan

Tamat sekolah tadika 1983, saya sambung ke sekolah kebangsaan, lokasi sekolah ku ini berada di Kompleks Sekolah-sekolah Kota Bharu (hampir dengan Wakaf mek Zainab, Jalan ke Pantai Cahaya Bulan), masa tu, hanya ada 1 sekolah Padang Garong, sekarang ada 2, (SK Padang Garong 1 dan SK Padang Garong 2) tiap-tiap tahun saya tak pernah merasa pun duduk kelas pertama, selalunya duduk kelas kedua dari 4 buah kelas. Kelas kami dulu di agih ikut warna, Merah Biru Kuning dan Hijau. Merah kira kelas pandai lah. Biru nombor 2. Pernah sekali saya kena turun ke kelas 4 Kuning.

Sebabnya banyak sangat main, haha.. padam muka... Nasib baik darjah 5 saya naik kelas 5 biru la.

Hobi

Masa sekolah saya gemar sangat bermain bola, mulanya main-main saja, walau tak hebat macam Deogo Maradona tapi jugak sempat jadi wakil sekolah, saya juga  diminta  oleh guru bermain ping-pong mewakili sekolah. Bukan sebab pandai, tapi sebab tak ada orang lain dah yang boleh bermain. Ah.. malu...kalah berat. Cepat sangat budak cina tu main, asal dia start lempar bola, bola tu hilang dah entah ke mana-mana.

Masa sekolah, banyak masa ku tinggal dengan mak saudara sebenarnya, kakak pada ayah. Sebabnya ayah dan ibu sibuk menguruskan kedai kopi. Lagi pun saya tak ada kawan, kalau lah tinggal dikampung, ramai kawan, petang-petang boleh main sana sini. Tak ada kes ragut, budak hilang ke hape.

Jadi, saya dengan mak saudara beberapa tahun lah jugak. Kecuali darjah 6 kalau tak salah. Tinggal dengan ibubapa semula. Sebab dah dekat UPSR. Hari-hari saya bersama anak-anak kampung berjalan kaki pergi sekolah.

Jalan waktu itu belum di tar lagi. Masih jalan tanah berbatu. Biasanya saya bangun pagi sebelum jam 7. Ketika dah siap pakai baju nak ke sekolah, horn keretapi dari stesen Wakaf Bharu pun kedengaran, tanda jam 7 pagi. Kami meredah kedinginan pagi yang sejuk, masih banyak kabus. Maklum kawasan kampung, kenderaan yang memecah kesejukan pagi belum banyak waktu itu.

Tapi… bila balik sekolah lain cerita, kami terpaksa berjalan kaki memijak jalan tar dan batu yang panas dek matahari. Saking tak tahan kepanasan, apalagi membawa beg sebuah galas, kami terpaksa berhenti seketika untuk berehat.

Lokasi kami berehat biasanya, di taman permainan Taman Bahagia. Disini ada permainan keretapi, buai, tempat memanjat dan lain-lain. Lebih kurang setengah jam kemudian baru kami menyambung perjalanan.

Aktiviti Harian
Petang-petang memang ada masa, saya ke dusun, (dusun itulah sekarang telah ditebas oleh manusia dan bertukar wajah menjadi Taman Tengku Anis). Ikut kawan lastik burung, lastik kaca, mandi sungai (Pok Mad Akar), main bola kaki tiga, perang, pergi tempat orang celup kain. Itulah permainan hidup zaman kanak-kanak.

Ronda-ronda lah katakan. Dulu mana ada  sangat cikgu bagi kerja rumah kan. Kadang-kadang selepas banjir, ikan banyak di sawah bendang, saya ikut mereka tangkap ikan.

Ada ikan buat makan, ada yang buat main, ikan sepilai, ikan orang buat laga lah tuh. Tak kan tak kenal. Mana ikan yang orang buang, saya kutip, bukan saya tahu pun main-main laga ikan ni. Tengok tau la. Kadang musim main buah getah.

Kalau semua musim bercuti, kita main dek cok, sejenis nama permainan di kampung kami...haha...dek cok...apa nama tu, ketiting ya? Entahlah…

Lihatlah dusun itu sudah hilang keasliannya dusunnya, sudah jadi taman moden, tempat kunjungan warga Kota Bharu.

Foto di sebelah, dulunya dusun tempat ku bermain dan mencari buah-buahan, kini menjadi taman permainan, Taman Tengku Anis, lokasi riadah, jogging warga kota.

Dulunya Tak Tahu Agama

Belajar Agama langsung tak reti, asyik meniru je kerja ku. Ada kawan nama Haswadi (Jalan Pengkalan Chepa), bab agama dia pandai jauh dibanding diriku. Tapi ku dapat hidayah waktu darjah 6, akhir-akhir tu, baru insaf nak belajar agama dan menulis jawi. Kisahnya panjang. Semuanya gara-gara Ustaz Mad Dahan yang suruh Amir Syarifuddin (Jln Post Office Lama) membaca kisah Nabi Muhammad ketika Sambutan Hari Maulud Nabi di sekolah. Sebelumnya, saya ikutlah Amir ni beberapa kali mendengar dia berlatih dihadapan ustaz Mad.

Pada hari acara itu tiba, tiba-tiba je Amir tak datang, sebab saya kawan baik Amir, dan pernah dengar Amir berlatih kot, lalu Ustaz suruh saya yang menggantikan Amir membaca Kisah Riwayat Hidup Nabi di tengah perhimpunan dalam dewan. Seingat saya, inilah kali pertama saya maju dihadapan orang ramai. Dengan tangan terketar-ketar saya cuba membaca kisah itu dengan nada suara yang betul.

Berkat membaca kisah inilah mungkin, pada malam esoknya, saya bermimpi. Mimpi yang sangat indah dan tak pernah mimpi itu datang selama ini. Mimpi yang biasanya tuhan berikan kepada Alim Ulama dan orang-orang yang menjadi hamba yang dekat denganNya. Saya mengadu pada Ustaz akan mimpi itu, ustaz Mad memberi amaran, jangan cerita pada sesiapa cerita ini, dan tolong panggil kan ibu kamu datang ke sekolah. Ustaz ada pesanan untuk mak awak katanya.

Kerana selalu bermain, dari jam 3 petang sampai maghrib, hari-hari main, tak kira hari di padang kompleks... kadang-kadang di (Padang Beng )Kota Bharu, sebelah masjid Muhammadi, Mak kata, tahun depan kena pergi sekolah pondok. Sebab tak pernah duduk rumah. Huhu...Pergilah daku ke sekolah menengah dengan UPSr 3A 2B. Masa ni, UPSR adalah yang pertama kali dalam dunia, dakulah antara calon pertama. Sebelum tu mana ada UPSR, yang ada Ujian Penilaian Tahun 5.

Oh ya, waktu sekolah di sini, ku tak pernah dilantik menjadi ketua kelas, penolong, apa lagi pengawas. Cuma kalau beratur memang tiap tahun kena duduk barisan paling hadapan. Bidang kokurikulum, ku minat PENGAKAP. Pernah ikut Kem Jambori di Kem Kijang 1 hari.



Ustaz Mad, Seorang Guru Beramal

Orang yang paling baik menjadi kenanganku ialah Ustaz Mad. Ustaz Mad bin Dahan hadir ke SKPG masa ku darjah 5. Masa ni beliau dah dekat nak pencen. Waktu mengenal dirinya, dia sebut nama saya Muhammad Dahan, ops....Dahan ustaz? Tanya ku keliru. Ye lah. Orang dulu-dulu katanya tak tau nak letak nama macam sekarang. Ustaz Mad lah yang memperkenal padaku Qiamul Lail, Perkhemahan IBadah di sekolah. Malam-malam kami main di pusat sumber, sedang Ustaz Mad asyik menghabiskan wiridnya dengan tasbih.

Pernah Ustazah Menangis

Sebelum kehadiran Ustaz Mad, ku tak pernah menyebut perkataan Ustaz, yang ada hanya Ustazah. Seorang Ustazah pernah menangis masa mengajar kami, ada kawan ku namanya Imran, sama dengan ku tak pandai jawi dan Quran, Masa Ustazah tanya....Nun mati bertemu apa ni? Imran jawab bertemu Bo hidup. Masa kelas agama, Imran (Blkg SMK Puteri) selalu buat bising, sampai Ustazah menangis dan lari ke bilik guru kerana tak tahan kenakalannya.

Rakan-rakan sekolah rendah

Kerana masing2 bawa haluan ke sekolah menengah, ramai kawan-kawan sekolah rendah terputus hubungan. Tak dapat di jejak. Antara kawan baik ku ialah  yang sempat di ingat masa ini : (senarai nama)

Sampai sekarang  belum dapat jumpa. Kecuali Yuziani, anak seorang guru. Nasib baik ada FB, sekarang jumpa semula. Yang lain sedang dalam pencarian. Ramai juga rakan anak polis sekolah di sini. Paling jauh dari Kem Askar Pengkalan Chepa, Sg. Keladi, Banggol dan Sungai Budur.

Ingat seorang kawan namanya Izani Musa, telinga nya selalu diletakkan kapas. Ku tanya kenapa dengan telinga awak? Adik aku lah...masukkan pensel dan tekan...sekarang dah bernanah. Sorang lagi nama NUraida, selalu gigit bibir bawahnya, sampai besar bibirnya. Macam tu lah, pelbagai watak dan fesyen kawan2 dulu.

Antara guru yang paling melekat di memori ialah Cikgu Abdullah (B.Melayu) , Guru Besar, Cikgu Nik Mat, GB Cikgu Amri, Guru Disiplin, Cikgu Riduan, selalu bawa rotan ke sana-sini,  dengan perut terkedepan dan mulut yang garang, Cikgu Normala Mat Atan (Guru Praktikum Melaka).Cikgu Rasyidah (Guru B.I),Pn.Aisyah, (Guru Kelas)

"Rupanya masa ini begitu cepat berlalu, bagaikan angin yang kencang... sekejap sahaja, kita sudah dewasa, dan usia hari ini, memisahkan kita semua, memisahkan gelak-ketawa, budaya, minat, pandangan dan kehidupan" Sham

3.Sekolah Menengah : SMU (A) Darul Anuar Pulau Melaka (1990-1995), SMUDA.

Habis sekolah rendah, kini masanya hijrah ke sekolah menengah. Masa mula2 masuk sekolah ini, Ustazah K menyambut kami, K ialah nama glamour beliau (Qomariah). Katanya, di sekolah ni, tak ada pagar, jadi kena jaga (pagar) diri masing-masing. Ingat lagi waktu tu, pergi mendaftar bawa baldi, selimut, tuala, toto, berus gigi, dapur minyak tanah.

Kami tinggal di pondok, tapi belajar sekolah agama arab. Bukanlah sistem pondok total.Cuma campur cara hidup di pondok, dengan belajar agama di sekolah. Basuh dan jemur kain sendiri, gosok tak pernah.
Bangunan Awal Penulis Bersekolah di SMU Darul Anuar..Tingkatan Peralihan

Makanan Rohani

Di sini ku belajar berdikari. Hari-hari mandi air paip dalam tandas. Masak nasi sendiri. Nak cepat ku goreng telur mata kerbau je lah, campur kicap..Huh...biar tak sedap, tapi perut terisi. Solat jamaah 5 waktu. Kuliah maghrib tiap 2 kali seminggu. Kuliah Subuh tiap hari. Inilah makanan rohani kami. Tidur di pondok. Kadang-kadang di Masjid. TV radio tak ada.yang ada speaker masjid sajalah, untuk dengar Bang (Azan) .

Selain itu, ku belajar Qawaid, Fiqh, Nahu, Saraf, Sirah, Mahfuzah, Sejarah, Sains, Matematik, Geografi, Imlak dan sebagainya. Sorang kawan kami panggil Bujang, pun nakal jugak. Bujang asal dari K.Terengganu. Nama aslinya Hafizan. Dalam kelas dialah yang paling bising, kalau baca buku kuat-kuat hari pertama, ingat lagi..Raksun..kepale, Bikrun telage...katanya dalam loghat Teganu. Itulah kelebihan baca kuat, sampai sekarang masih terngiang-ngiang.

Tingkatan 3 daku mula dilantik sebagai pengawas sekolah, tingkatan 5 ku dilantik sebagai Rais Dhabit. Ketua Pengawas. Pernah ku lari dari sekolah ini, gara-gara ingin menambah ilmu di pondok, ku lari ke Pondok Lubuk Tapah Pasir Mas, tak lama hanya seminggu, tak tahan rupanya mengaji dari pagi sampai malam. Hanya petang selepas asar je free sekejap. Mak saudara pun marah, nak jadi apa, sekolah pondok, dah elok-elok sekolah agama.

Baliklah semula ke sekolah arab, banyaklah rumah sewa yang ku duduki nak habiskan 6 tahun di situ, kira-kira dua buah pondok, satu rumah sewa dan 2 rumah percuma. Sekarang tapak rumah itu didirikan rumah Ustaz Nik Adli, anak pada Tok Guru kami yang kami panggil Ayah Zid. 
Orang-orang kampung Pulau Melaka yang rajin ke masjid rata-ratanya kenal diriku, kerana ku sering jadi Bilal dimasjid itu.  Bahkan pernah malam kuliah pun, ku minta dengan Bilal, Pak Cik Mat, untuk azan. Rasa seronok dapat buat amal.

Gambar sebelah, penulis pakai baju pengawas warna biru, Hafizan no.2 dari kiri.Kiri kanan ialah pondok kami. Rumah belakang warna putih ialah rumah adik perempuan TGNA.

Selama 6 tahun dari 1990 sebelum pilihanraya  umum hingga 1996 ku sini. Siapa tak kenal, sebut saja Hisam Lebai, orang tahu. Sebab ciri-ciriku ialah kopiah tak pernah lekang, dari bangun tidur hingga nak tidur.

Ingat lagi, bila dah lama di sini, anak-anak pondok yang malas bangun solat subuh, ramai kena tibai. Tanganku inilah yang banyak menibai. Ops...bukan tangan... tapi alat. Kadang-kadang terlepas jugak. Yang tak buat masalah, tak ada sebab nak kena marah. Mungkin mereka yang jadi mangsa masih ingat kisah ni. Huhu..Nak buat macam mana, pasal tak ada ustaz yang jaga kami, masing2 jaga diri sendiri. Budak-2 tu kalau kita biarkan dia tadbir diri sendiri, alamatnya tak sembahyang lah.

Ku rasa terkilan sangat sebab mereka datang dari seluruh Malaysia, untuk belajar, mak ayah jauh, sembahyang 5 waktu liat, malas.

Kes ke Mahkamah
Sayangnya, ku hanya pandai marah, tapi tak tahu bagi motivasi supaya rajin solat...kerana dengan solat kita akan bla bla bla.. Bukan jahat...tapi samseng tak tentu pasal. Pernah ada budak tak ikut kuliah, pergi main silat, bukan main ku marah, sebab tak tahu dimana sembahyang mereka, sampai bergaduh besar dengan tenaga pengajar silat, selepas kuliah Tuan Guru, semua orang dah pulang, ku balik ke pondok, lebih kurang jam 10 datang 3 orang suspek.

Marahkan daku sebab sibuk uruskan orang lain.Kami bertengkar kemudian terjadilah kes gaduh 3 lawan 1  dalam pondok ku, sampai terkoyak baju, dan bengkak-bengkak. Malam tu juga ku dan Hasan Bintang ke rumah Ustaz Raja di Pancor, Ustaz kemudian bawa ku ke Balai Polis Binjai untuk buat repot, kes serangan ke atas pondok. Kemudian, polis suruh kami ke IPD Kota Bharu, malam tu memang tak tidur, dekat2 subuh, polis membawaku naik kereta peronda untuk menunjuk lokasi kejadian, dan rumah suspek. Suspek langsung ke bawa menaiki kereta jep polis.

Kes ini berlarutan hingga 2 tahun dibicara di mahkamah. Wal akhirnya ku menang kes.... Sebab mereka menyerang ku didalam pondok.

Hakim bertanya padaku ketika sesi soaljawab, mau apa?
Ku Jawab wang gantirugi di atas serangan mereka.Berapa?  200. ringgit sahaja.
Mereka bayar RM200.oo dalam mahkamah didepan hakim, diluar mahkamah, ku bagi balik duit tu, kami semua bersalam-salaman, saling minta maaf.

Peserta Speaker Corners

Tahun 1994, Pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu menjemput beberapa buah sekolah Arab untuk menjadi peserta syarahan di Taman Hijau Kota Bharu. Saya salah seorang yang ikut. Kami pergi dengan bas MPKB. Dari awal program hingga akhirnya, sekolah kamilah mampu bertahan berada di situ setiap minggu.

Program yang dirancang oleh Pegawai Unit Pembangunan Islam, MPKB ini adalah salinan dari program yang sama di England. Sehingga 1996 program ini bertahan. Ku sentiasa berhubung dengan Kak Nah waktu itu sebagai pegawai bawahan disana. Kadang-kadang minta MPKB hantar bas kecil, dan adakalahnya sebuah bas besar. Disitulah daku mengasah bakat menjadi penceramah(Gambar sebelah menunjukkan zaman tengah memberi syarahan umum di bandar Kota Bharu. Ku turut melatih adik-adik untuk bersyarah, buat mereka ku coretkan satu syarahan pada sekeping kertas, bergilir2 salah seorang membacanya.

Histeria 7 orang serentak

Antara peristiwa yang ku lalui ketika tinggal di pondok ialah budak perempuan di masuki hantu, pernah satu ketika 7 orang serentak. Waktu itu jam menghampiri 10  malam lebih kurang, kerana tidak ada orang dewasa di pondok itu selain daku, maka pelajar mencari ku yang sedang tidur.

Bukan main lagi bersilat hantu tu. Ada satu kisah, ku ambil pen marker dan letakkan di celah jari dia, sambil jepit jari dan pusing pen, kata hantu tu, eh eh sakitlah dia, jangan buat gitu, ha....kalau kau tau dia sakit, kau keluar, siapa suruh kau datang, Hantu itu pun jawab , hantarlah, hantarlah aku balik,....Eh, jawab saya, kau datang sendiri kan, kau balik lah sendiri ! , tak mau jugak dia keluar, akhirnya Tuan Mudir, Ustaz Mad Zain tiba,

Mudir : Dia nak apa Sham?
Saya : Dia suruh hantar dia balik
Mudir : Mana tempat dia?
Saya : Tu...belakang asrama, dekat dapur... (ku tahu dari cerita orang itu tempat dia, dan ku pernah rasa sendiri, setiap kali lewat belakang dapur tu, mesti ada sesuatu yang membuat bulu roma ku naik)
Mudir : Hantarlah....kalau begitu
Saya : Minta tolong 2 orang perempuan papahkan dia ke sana..

Dalam perjalanan ke dapur asrama, budak itu rebah jatuh terkulai...dah keluar satu..

Besoknya lagi, di rumah sewa pula, pun ku dipanggil ke sana, masih ingat perempuan tu namanya Ruzi, Ruzi...tolong duduk elok-elok kataku, hmmm..... dah elok la ni katanya... cuba ambil Quran da baca, perintahku,,dia ambil rupanya dan boleh pun baca...kalau hantu lain, asal letak je Quran depan muka, pasti meraung...PANAASSS!! PANAAS!!, yang ni tak macam degil semacam, puas kami guna cara, maklum tak pandai semua, bukan belajar pun berbomoh ni, entah bagaimana tak lama kemudian keluar jin tu. Melihat Ruzi macam dah OK, kami pun bertanya,

Saya : Kenapa kamu tadi macam tu ?
Ruzi : Entah...
Saya : Kamu sedar tak (tadi)?
Ruzi : Sedar....
Saya : Habis tu...kenapa buat gitu?
Ruzi : Saya pun tak tahu, ada orang guna mulut saya bercakap, saya nampak semua tadi.

Rupanya ada  2 jenis jugak histeria ni, satu mangsa kerasukan tak sedar 100% dan kedua mangsa dalam keadaan separuh sedar. Mata dia melihat, tetapi mulut dia diguna pihak lain.
Akhirnya panggil bomoh juga, kami tanya dari mana jin-jin tu, katanya alah...mereka singgah je..

Nampak Jin di Masjid Pulau Melaka

Satu kali pernah ku tidur dalam masjid dengan beberapa orang kawan, yang lain balik kampung semua, tinggal daku Rosli (Seli Lebai), dan sapa lagi dari Bachok, jam 2  lebih malam, ku bangunlah untuk berwuduk dan tahajud, sementara kawan-kawan lain tertidur lagi, ketika nak takbir, ku lihat sebelah kiri, tepatnya di depan saf muslimat, ada 1 jin sedang solat. Berdiri, rukuk, sujud dan bangun lagi. Sesudah solat ku tengok tak lama kemudian datang satu lagi jin dari arah depannya, dan mencekik jin yang tadi. Yang solat tu macam manusia, agak rendah, sementara yang menyerang macam beruang, berbulu putih.

Bergaduh lah dia berdua, entah apa kes gamaknya. Mungkin berebut  barang mainan. Untuk memastikan apa yang lihat benar-benar ada, bukannya rekaan semata, ku kejutkan Rosli...Li..Li,, bangun Li tengok tuh, kataku sambil menunjuk ke arah sudut kiri masjid, Rosli terbeliak matanya, sambil menggosok-gosok mata, eh apa tuh...entah la Li, terkezut jugak dia, entahlah, dari tadi lagi... Kerana mengantuk dia pun sambung tidur lagi.

Jam 4 lebih, dekat-dekat Subuh, biasanya masjid ini akan didatangi orang ramai jam 5 pagi untuk solat tahajud, Rosli mengejutkan ku... eh.eh, Sham...ada lagi tak benda tadi? Ku tengok....ada...ah biarlah dia. 

Begitulah banyak kenangan sebenarnya di sini. Namun ini sekadar mengisi ruang, untuk berkongsi cerita. Semenjak ku pindah dari sekolah tu, tak pernah cerita kes-kes diatas pada sesiapa, kebetulan menaip ni, baru ingat semula.
SMU (A) Tarbiah Mardhiah, Panchor Kemumin (1996-1997).
 
Akhirnya Haswadi (foto kecil kanan)  bagi cadangan, datang KL katanya, nanti tinggal di rumah Pok Hen di Selayang Pandang. Dia orang baik, suka tolong orang. Sepupu ku ini seorang Hafiz (Haswadi) dulu pernah menjadi Imam Terawikh di Masjid Selayang Pandang selama sebulan. Tahu sangat dia jiwa budi baik orang2 di Selayang ini.

 Inilah antara kucing Mak Yah
Habis tingkatan 5, daku beralih sekolah ke sekolah ini. Sebab di sekolah (Darul Anuar) SMUDA belum ada tingkatan 6. Di sini pun ku dilantik sebagai ketua pengawas masa tingkatan 6 Atas, menggantikan rakan yang sambung ke Mesir. Namanya Nasir dari Pulau Pak Amat. Sekarang bertugas sebagai Imam besar di Masjid KLCC.

2 Tahun saja ku disini. Pergi sekolah naik motor honda 90cc. Tinggal sama-sama kawan.Talhah dari Pahang. Malam-malam ku cari duit kerja di Hotel Nora Kota Bharu. Masa tu tahun 1996. Ustazah Rahimah (Libya), guru kelas ku, tahu ku kadang tak ke sekolah sebab cari wang. Talhah yang bagi tau.

Beliau kumpul duit dari semua guru-guru dan serah padaku, Sham....katanya jangan kerja lagi, ambil duit ni buat belanja. Periksa (STU, sekarang STAM) dah dekat ni.
Kenangan di sekolah Arab Panchor

Antara kenangan di sini ialah, dapat berkelah Kem Tarbawi di Lata Renyut, Dabong. Antara sahabat yang bersama ikut ialah Asri, Abu Hanafiah, Adnan (sekarang jadi pensyarah di  KUIS ) Zamri, Alsagafbeli(Sarawak) , Mamat Kg.Bintang, Hasan Bintang, Zainuddin Pondok Tok ayah Kedah dan lain-lain.(Dalam gambar di atas, yang berbaju hitam ialah Ustaz Adnan KUIS, sementara sebelah kanannya, Ustaz Nasir, Imam Masjid KLCC, sebelah Nasir ialah Zamri, ramai dalam gambar ni sempat ke Mesir)

Kawan-kawan yang hebat dan pandai ke Mesir, Jordan, Syria..daku? Huhu...Ku ambil keputusan ikut Abu Hanafiah (Fb Abu) dan Asri ke Indonesia. Sebab nak ke Mesir tak cukup syarat. Nak kemana ni? Indon pun  banyak tempat belajar. Pendekkan cerita, ku dapat saranan dari seorang guru supaya ke Propinsi Aceh.

Kemahuan Belajar Tinggi, Duit Tak Ada

Zaman kami namanya zaman ekonomi meleset, zaman eko no money, semua biasiswa ditarik balik. Mundar-mandir ku ke sana sini mencari duit, dimana lah boleh ku dapatkan wang untuk sekolah 4 tahun di luar negeri. Terpaku .... akhirnya ku dapatkan satu surat (untuk baca Klik)  dari Pejabat MB, minta sokongan untuk dapatkan derma.


Di Kelantan, nak kumpul duit banyak dalam masa singkat bukanlah mudah bagiku. Makanya ku ke mana-mana membawa sekeping surat itu. Sampai atas Pasar Siti Khadijah. Disini (Pok Su) tolong bawa surat tu kepada semua peniaga disitu sambil tolak kereta jual airnya. hitung2 maish tak cukup-cukup juga.


Ustazah di SMU Panchor
Ku ikutlah nasihat dia, nasib baik, walaupun POk Hen tak kenal ku, tapi menerima untuk tinggal disitu. Rumahnya masa tu, rumah setinggan. Disitulah syurga ku sementara. Mak Yah pun baik sangat orangnya. Sampai baju ku pun beliau tolong gosokkan. Ku cakap, tak payah lah gosok, biar lah. Pok Hen ada 6 orang anak, tiga orang yang pertama, sempurna, manakala 3 orang berikutnya, semuanya cacat.

Ku saksikan sendiri, satu2 di gendong dari bilik tidur ke bilik air, dimandikan, disuap air teh susu dan biskut. Faizal, Siti Aminah dan Nurul Shuhada, tak lama kemudian satu satu meninggal dunia di panggil Tuhan, yang paling panjang umur, Faizal 15 tahun. Namun masih tak boleh bercakap, tak boleh bangun sendiri, hanya menangis saja.

Rumah yang penulis tinggal seketika sebelum ke Aceh

Mak yah ni suka bela kucing, berpuluh ekor kucing dalam rumah setinggan ini. Siapa buang kucing, hatinya sayu.... tak sampai hati, dia akan ambil bela. 


Berak kening kucing semua dia uruskan tanpa mengeluh. Sungguh besar jiwa mereka. Selayang Pandanglah menjadi markas pergerakan ku. Pok Hin menjadi juru planning, ke mana nak tuju. Yih anak sulung menjadi peneman ku sehari-hari.  Nombor2 bas sudah terhafal dalam ingatanku, kami cuba ke sana-sini, orang tak berapa nak bagi jugak. Sampai ku ke Bangunan Sultan Abdul Samad, nak minta biasiswa dari Majlis Agama. Kemudian ke Pusat Zakat KL.
Makam Arwah Faizal

Setelah itu ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. Minta surat sokongan. Nasib baik dia bagi, sebab masa tu boss nya orang Kelantan. Rasa malu ku cuba buang, dengan surat itu ku ke masjid India, naik turun pejabat, bank dan kedai-kedai.Jumpa la dengan En.Wan Mahmud bin Wan Yaakob.

Peristiwa Di Lempar Surat

Yang paling pedih, sedih dan meninggal kenangan, sewaktu ku ke sebuah bank di Jalan TAR, ada apa? Tanya seorang pekerja disitu, ku tunjukkn surat sambil berkata nak minta derma..Bila dia baca surat tu ...dia lempar...HUH!!..Pergi balik kelantan, minta di sana...ku berjalan sayu memungut surat itu dan ucapkan terima kasih. Tak sangka sampai hati manusia buat ku begitu, apa salahku? Pok Hin dibelakang ku melihat saja gelagat manusia.Apa boleh ku jawab...ku hanya peminta sedekah.

Di ugut Imam Masjid Negara. Satu lagi waktu ku ke Masjid Negara dengan Yih, habis sembahyang zuhur, ku bagi tau Imam (Imam ini sering masuk TV sampai sekarang, ku tak lupa namanya,sebab namanya sama dengan sorang sepupuku),

Tuan...saya nak minta derma, kalau boleh dari warga masjid...Tak ada ..Tak ada.sini tak ada derma katanya, Tuan, saya bukan minta duit tuan, tapi derma dari orang ramai...Tak ada, tak ada, tengok kat luar tu ada POLIS...nanti dia tangkap kamu. Sambil berjalan dia pergi. 

Balik rumah di Selayang, ku ceritakan pada Mak Yah, menitis air mata dia mendengarnya, katanya.... tengok gak wajah budak ni, betul ke dia  ada air muka nak menipu...kalau ia pun tipu, apa salahnya bagi 10 ringgit. Ya...sudah, nak buat macam mana, bukan rezki ku.
Doktor Hospital Tawakal Sangat Berjasa

Langkah ku atur lagi di markas, rasa-rasa hampir buntu pun ada. Akhirnya Masjid Selayang Pandang bantu juga, dapatlah sekitar RM700.00, kemudian ku serata masjid2 besar, masjid Kampung Pandan, ku dapat RM2200.00. Surau KLCC RM2000.00. Masjid Kampung Batu, RM 1000.00, Imam Besar Masjid Kampung Baru RM500.00, (Waktu ni,Imam ini baru sahaja dipecat oleh orang besar politik, dia terpaksa berulang-alik ke Kuala Kubu Bharu, tempat kerja baru, berita pemecatannya tersar seluruh Malaysia) Masjid Kampung Baru RM1000.00, kemudian ku ke Jalan Ipoh. Naik turun PUSRAWI. Mereka suruh tinggal surat, nanti di poskan katanya Hmmm..tunggu je lah... Sudah tu, ku ke Hospital Tawakal Jalan Pahang.

Ha.... di sini banyak yang berjasa padaku, semoga Allah merahmati mereka, melapangkan rezki mereka, ku tilik-tilik  senarai nama Doktor di papan kenyataan, nak pilih yang Islam sahaja. Beratnya kaki ku melangkah... Namun ku paksa jua. Siapa lagi mahu menolongku kalau bukan manusia. Ku teringat, Tuan Guru Nik Aziz panggil ku naik ke rumahnya, beliau bagi wang sekeping RM500.00atau RM600 kalau tak salah, kataku, saya tak nak lah sampai menyusahkan orang,(terpaksa bantu saya belajar), Tuan Guru jawab, habis kalau tak nak menyusahkan orang, nak susahkan siapa lagi? Jawapan beliau membuat ku diam.

Habis tu, ku berlegar-legar di setiap klinik di dalamnya, mereka semua sibuk dengan pasien, ada satu doktor, bila dia baca surat yang ku bawa, teruskan dia arahkan nurse, take five, sambil menunjuk ke 5-lima  jarinya, nurse mengira-ngira, RM500.00 tanpa cakap banyak., dihulurnya padaku."Terima kasih doktor".

Kemudian ada lagi seorang doktor, rupanya orang Kelantan jugak, secara kebetulan, rupanya ramai doktor-2 di sini dari senegeri ku. Ku hampiri kerani dimeja kaunter, ada apa, tanya dia? Saya nak jumpa doktor, nak mita derma, kerani tu cakap tunggu. Ditengoknya muka kita macam menyusahkan sahaja kedatangan kita ni. Hampir 2 jam ku tunggu kalau tak salah, lepas sorang-sorang pasien masuk, sampai habis pasien. Ya. ada apa katanya, Ku tunjukkan surat tu, setelah dibaca, dia kata datang esok... Wah ini janji baik. (Rumah inilah menjadi tempat saya menumpang berteduh sebelum ke Aceh)

Esoknya ku datang lagi, berjam juga menunggu, akhirnya dia panggil masuk dalam kamarnya, di tunjukkan padaku buku-buku yang dia baca, salah satu dia hadiahkan padaku, buku tentang rawatan secara keagamaan bagi orang yang terkena ilmu sihir. Akhirnya doktor itu bagi wang Satu Ribu ringgit, dan dtambah lagi, ini wang zakat kakak saya katanya. Nanti kalau susah-susah datanglah.

Ya Allah, terima kasih tuhan, setelah terbakar jiwaku di lempar surat, bagaikan mereka melempar mukaku, kini tuhan mengganti yang lebih baik, pengalaman pahit ku dibayar.Nanti ku pulang bila tamat pengajian di Aceh, ku akan datang lagi untuk ucapkan terima kasih padanya, bisik hatiku. Ya Allah, semoga Kau lapangkan rezekinya dan semua orang di hospital ini. (Gambar sebelah, Pak Cik Ibrahim, di rumah setinggan beliau lah saya menumpang selama sebulan untuk mencari derma sebelum ke Aceh)
Hitung-hitung semuanya dapat hampir RM10,000.  Derma ini dari orang perorangan dan masjid. Termasuk Nazir masjid Selayang Pandang.  Sebelum ku ke Aceh, sempat 1 kali kalau tak salah ku naik mimbar menyampaikan khutbah Jumaat.

Habis Jumaat, ada orang datang, Pak...tegurnya, bapak dari Indonesia ya. Ngak lah jawabku. Bingung dia.

Waktu berangkat ke Aceh dah dekat, ku harus pulang ke Kelantan untuk menyusun barang pengembaraan. Pada Mak Yah ku tinggalkan Rm300.00, sudah sebulan ku menumpang nasi air dan tempat tidur. Dengan linangan air mata dia berkata, sepatutnya kami yang tolong Sham...bukan Sham yang bagi..Tak pe lah, ku jawab, ada rezki boleh lah. (Gambar kanan, dihadapan rumah baru Pak Cik Ibrahim)

Banyak manusia yang pernah berjasa padaku, yang sudah meninggal pun ramai. Harap Fatihah yang ku bacakan setiap malam Jumaat dan ketika diterima Tuhan sebagai pahala untuk mereka. Juga pada atuk-atuk ku yang dulu, mungkin mereka lah yang pernah mendoakan untuk ku anak cucunya supaya menjadi manusia yang berguna, beriman dan bertaqwa. Amin
1998. Ku terbang ke Indonesia

21  Ogos 1998, kami naik kapal terbang dari Pulau Pinang ke Medan. Pertama kali naik kapal terbang dalam hidup. Semasa di dalam pesawat, pilot mengumumkan pesawat ini akan memakan masa 50 minit. Tetapi sebenarnya hanya 45 minit sahaja. Perghhh. bayar mahal, naik sekejap saja. Baik tak payah naik... huhu.Itu lah kali pertama naik kapal terbang, kemudian lepas tu, ku naik feri saja, dari Penang POrt Klang ke Pelabuhan Medan, walau perjalanan 5 jam naik feri. Tapi murah dan meriah.

Ramai kawan-kawan tak sempat makan dan minum lagi, kerana kami diminta mengisi  borang ketibaan sebagai warga asing di Indonesia. Ntah bagaimana lah agaknya rupa Aceh...Itu yang bermain dalam fikiranku. Kami masing-masing saling tak kenal. Duduk bersebelahan, hanya menyapa yang disebelah sahaja lah. Ah...biar lah...nak berkenalan pun, nanti di sana...disanakan kita lama.


Sampai di Medan,kami di bawa ke Kota Medan, Jalan Gadjah Mada, tepatnya berhadapan Hotel Labuhan Raya  sementara menunggu bas ekspress ke Aceh. Semua bas penuh, kecuali malam jam 10.00. Perjalanan ke Banda Aceh 12 jam. Esoknya jam 10 pagi kami tiba di Stui. Pemimpin rombongan kami ialah Abang Wan.(Bas Kurnia yang membawa kami 17 orang ke Aceh)

Setiba di sana, kami dikurung selama 2 minggu di Mess Malaysia, untuk menghadapi orientasi. Tak ada siapa boleh keluar, kecuali 2 orang antara kami yang ditugas membeli nasih bungkus. Habis Orientasi kami menetap di rumah sewa, abang-abang letting yang tolong carikan. Sewa rumah disana waktu itu Rp2,400,000 sebuah untuk setahun. Ku tinggal di Kompleks Cek Ta di Kampung Tangjong Selamat. Berdomisilah kami di sini selama setahun lebih.

Pergi kuliah jalan kaki, ulang alik, kadang-kadang pergi pulang terus, sebab dosen tak ada. Dosen adalah gelaran kpd pensyarah. Bau ketiak busuk sebab jalan kaki jauh. Lama-lama tak tahan, masing-masing beli basikal. Kami semua beli basikal abang yang nak pulang ke Malaysia.

Rasa macam lama juga duduk negara orang 4 tahun. Kata sorang kakak, alah...duduk sini bukan lama, 4 tahun tu, sekejap je, gelap cerah gelap cerah, dah cukup 4 tahun. 

Masa daftar kuliah, ku pilih Fakultas Dakwah Jurusan Komunikasi dan Penyiaran, mengingat didalam jurusan ini ada Pelajaran Rijalul Dakwah. Namun sesudah 1 semester berlalu, ku pindah ke jurusan BPI, Bimbingan dan Penyuluhan Islam. Pertukaran ini kerana setelah ku lihat abang-abang leeting pun dah tak di ajar ilmu Rijalul Dakwah, manakala dalam jurusan BPI, ada ilmu Psikologi dan Bimbingan.


Rupanya setiap semester begitu cepat juga berlalu. Bilik kuliah kami tak ada kipas, jauh sekali penghawa dingin, yang ada cuma udara original...sesekali menerpa pipi lewat tingkap bilik kuliah. Belajarlah kami di sini, selama 4 tahun. Oh ya, cuti semester setiap 6 bulan, cutinya panjang jugak, untuk melepas rindu pada kampung dan juga sambil mencari dana tambahan, ku pulang setiap 6 bulan ke Malaysia, mula-mula takut juga jalan seorang diri, lama-lama bila dah biasa, dah jadi macam tempat sendiri. Mana sodako (kenderaan angkutan awam) nak naik, nombor berapa dari Pelabuhan ke Pinang Baris, berapa ribu rupiah ongkos, semuanya tercatat dalam diari ku.


Yang paling gembira, ketika wisuda (konvokesyen), daku antara yang dapat menyiapkan pembelajaran genap 4 tahun, ketika melihat semua IPK, (Epeka), Indek Prestasi Keseluruhan, (CGPA), dalam kelompok dakwah, dakulah yang paling tinggi markahnya  pada tahun itu.


Rasa puas hati, usaha selama ini menyiapkan skripsi (tesis Sarjana Muda) dengan bimbingan 2 orang dosen (pensyarah), hari-hari ke rumah dosen, memperbaiki skripsi, taip, print, rujuk buku-buku, ke pustaka, kajian lapangan, temuramah, akhirnya siap lah Skripsi sebuah ku.

Habis skripsi, 2002 ku pulang ke tanah air.

Tepatnya 2002 Hujung Tahun ku Pulang. Ops bukan pulang seorang, tetapi membawa Ijazah dan Azizah. Ya..tapi bukan nama Azizah.

Sampai di kampung, isteri sudah sarat mengandung anak pertama, hanya menunggu hari,  20.10.2002 Lahirlah anak pertama di Hospital Kubang Kerian. Masa ni tak ada kerja lagi. Masih menguruskan anak yang baru lahir. Tak lama kemudian baru dapat kerja bantu saudara menjual air kelapa dan depan pasar Siti Khadijah. Pun tak lama, yang paling lama kerja ialah dengan Pok Od.

Pok Od ada sebuah kedai makan dan kedai runcit.Betul-betul berhadapan dengan Sekolah Menengah Tangjung Mas. Saya dan isteri diambil bekerja, makan gaji minggu. Saya jaga kedai makan, buatkan air, sementara isteri menjaga kedai runcit.

Hampir setahun jugaklah ku berulang alik dari rumah ke sini. Tak lama kemudian dapat panggilan masuk belajar Bahasa Inggeris, dibayar elaun lagi RM500.00 sebulan. Lokasinya di Jalan Che Su. Smart Reader.

Malam-malam ku mendatangi surau-surau untuk memberikan kuliah khas, elaun ini dibayar oleh Majlis Agama Islam Kelantan. Sempat setahun jugaklah. 2 Bulan sebelum tamat belajar di Smart Reader, ada pula panggilan ke Maktab Perguruan Islam. Tahun ini 2003. Mula belajar di MPI ialah 2004.

Sebelumnya ku menghadiri temuduga di Maktab Perguruan Besut. Pinjam kereta anak sepupu, pegawai polis narkotik, sampai di pasir puteh, baju putih tertinggal, sedang baju kot ada, ku ke rumah Ahairul, kawan sama belajar di Aceh, pinjam baju beliau untuk temeduga. Rasa bertuah kerana terpilih dipanggil. Dan rasa macam nak lulus sebab semasa akhir sesi temuduga, seorang pegawai mengatakan, awak tertinggal gambar ukuran pasport, tolong ke kedai gambar di Besut dan ambil gambar segera katanya.

Apa lagi, dengan hati yang riang ku Bandar Besut, setelah ambil gambar 4 keping, terus kembali ke Maktab untuk menghantarnya, sambil mengucap terima kasih.

Tapi debaran penantian dipanggil sangat melucukan. Masa ni masih belajar di Smart Reader. Ketika keputusan keluar, hari tu hari Jumaat, kedai internet tutup, ku ke rumah Mak Cik Yah untuk melihat jawapan panggilan. Semalam, semua kawan-kawan di Smart Reader sudah sebut, kamu pasti dapat lah.

Setelah membuka laman web tersebut, dan memasukkan sebiji-sebijik password, apa katanya? Harap Maaf...permohonan anda GAGAL.... Adussssss..... lemah longlai jadinya. Apalah nak ku buat kalau tak dapat jadi cikgu. Nampak gaya kena kerja mesin kelapa lagi lah.

Hari Ahad, kuliah di Smart Reader berjalan lagi, kawan-kawan menyerbu, bertanyakan, dapat tak dapat tak? Rafidi Bachok, Ira, Sumi, Hazman, Ismail, saling bertanya dan mereka macam tak percaya, yang daku benar-benar tak dapat.

Hemmmm...tak pelah, bukan rezeki, kata orang Indonesia bukan rejeki.

Sebenarnya daku sendiri pun macam tak percaya, padahal hari tu, pensyarah tu dah suruh pun daku ke kedai gambar untuk ambil gambar segera. Doa pun dah sudah. 

Namun ku tak berhenti berdoa, dan besok nya lagi, laman web itu ku bukak lagi, demikian ayatnya keluar...Harap Maa...Permohonan Anda Gagal...  besoknya buka lagi, masukkan nombor IC lagi.... demikianlah hari-hari ku antara waktu rehat di Smart Reader. 

Namun pada suatu hari, hari yang kesepuluh kalau tak salah, begini tertera di papan layar, TAHNIAH...Anda BERJAYA....sila daftar diri pada ..... bla bla...Apa lagi, dengan girangnya, ku terus print, takut tulisan ini bertukar lagi... HARAP MAAF...


Nyatalah sudah.. ku memang berjaya masuk Maktab.... Maktab Perguruan Islam Bangi namanya. Ibu pun apalagi, memanggil saudara-mara, laksa dijamu buat majlis kesyukuran.

Semasa  belajar di MPI, daku menyewa rumah sebuah rumah dengan elaun RM1200.00 sebulan. Hampir setahun penuh disini. Akhirnya ku isi borang posting, sekolah pertama ku (2005) ialah SK Bangi, disinilah awalnya dan disinilah daku masih setia.


2008, ku sambung belajar, Separuh Master dalam bidang SPADA, Special Programme Fol Alcohol dan Drug Abuse di USIM. Hanya 9 bulan, tapi sempat ke Papar Sabah, Vietnam, beberapa lawatan ke Pusat Serenti di Semenanjung dan juga pusat pemulihan swasta.


Mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Hulu Langat tahun 2007. Pada Tahun 2009 di Anugerah Guru Bimbingan Cemerlang Negeri Selangor.

Telah berkahwin, mempunyai 2 orang cahaya mata perempuan. Sering memberikan ceramah Motivasi Pembelajaran, Penyalahgunaan Dadah, dan juga Motivasi Ibu Bapa di sekolah, surau, masjid dan Institut Pengajian Tinggi.

Kini masih sebagai JU, iaitu antara 8 orang Juru Latih utama web Kementerian Pelajaran Malaysia, di bawah Bahagian Sekolah Harian, Unit Hal Ehwal Murid
Pekerjaan, bertugas sebagai Guru Bimbingan di Sekolah Kebangsaan Bangi. Sejak 2005 hingga sekarang





­ Tahniah sahabat...rupanya ada kesukaran yang amat sangat untuk bergelar insan seperti sekarang.....
ahmadini said...
pengalaman yg membentuk jiwa manusia... takkan dpt dibeli wang ringgit
Anonymous said...
wazi@sarah-taman ehsan

huhu3....
sayu kami baca biodata ustaz 2,3x kami ulang.....
tahniah la diatas kejayaan ustaz...
semoga selamat di dunia dan akhirat
amin.
kisah yang ustaz lalui sangat bernilai untuk dijadikan panduan kepada generasi muda dalam menempuh kehidupan agar tidak mudah berputus asa dalam mengejar cita-cita seterusnya berbakti kepada agama, bangsa dan negara!
Saya masih ingat lagi ustaz.. cuma tak berapa rapat.. kenal gitu2 je

*bekas pelajar SMUA Tarbiah Mardhiah Panchot 1990-1996

Ruzilah said...
Tak sangka jumpa kembali setelah bertahun tak jumpa kawan2 lama... dan tak sangka, ada jugak nama saya dikalangan nama kawan2 baik awak di atas sana.. Tima Kasih atas ingatan ini.... :) 

Bermacam-macam perasaan timbul bila baca awak punya pengalaman... dan dibandingkan dengan pengalaman sendiri... Perit maung, manis, masam dan pelbagai jugak kisah sebagai anak rantau ni(walau di negara sendiri ;) ) 

Awak memang bertuah kerana jadi insan terpilih untuk mengalami semua ini.. 

Semoga terus berjaya buat awak, Ise.. dan semoga dirahmati Allah selalu ;)

-Ruzilah-
assalamualaikum

buat sahabat sekalian..org yg banyak mendidikku menjadi apa yg ku jd sekarang ini adalah abg se (norhisyam) terima kasih sudi mengajar ku ilmu menjadi daie..dr hanya berani mengucapkan assalamualaikum..hingga sekarang..terima kasih cikgu..
salam...saya terharu dgn kisah kehidupan ustaz.banyak manfaat dan renungan yg bole dibuat.